أهلا وسهلا ومرحبا بكم - Selamat datang ke blog My al-Quran. Lawatan serta komen membina daripada anda amat dialu-alukan untuk penambahbaikan blog ini.

Rabu, 27 April 2011

PENGENALAN TARANNUM AL-QURAN DALAM KELAS KEMAHIRAN AL-QURAN (KKQ)

Tarannum al-Quran merupakan salah satu bahagian mata pelajaran utama yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh pelajar KKQ (Kementerian Pendidikan Malaysia 2004).  Nik Jaafar (1998) dan Mohd Ali (1999) mentakrifkan ilmu tarannum al-Quran sebagai suatu ilmu kaedah suara yang dipelbagaikan bunyi mengikut proses nada, rentak dan irama yang tertentu untuk menambahkan keelokan seni bunyi sesuatu bacaan, khususnya di dalam bidang ilmu pembacaan Al-Quran. Mohd Ali (1999) menyatakan antara istilah yang sering digunakan seiring dengan ilmu seni suara bacaan al-Quran ini ialah Tarannum, al-Maqamat, al-Han dan al-Ghina. Sebutan “Tarannum” dan “Maqamat” agak sinonim dan sering diguna pakai dalam ilmu seni pembacaan al-Quran seluruh dunia. Mohd Noor Abdul Rahman (2000), Istilah “Tarannum bil Quran” lebih popular penggunaannya dan difahami oleh kebanyakan masyarakat di Nusantara untuk menunjukkan wujud hubungan erat antara seni memperelokkan suara dengan kaedah pembacaan ayat-ayat suci al-Quran di Nusantara.
Al-Quran sebagai mukjizat paling agung anugerah Allah swt kepada junjungan besar Nabi Muhammmad saw ini bukan sahaja perlu dipelajari dari sudut hukum-hukum tajwid dan tafsir sahaja, bahkan ia juga dituntut agar dialunkan secara bertarannum (Wan Hilmi Wan Abdullah 2010). Hal ini adalah berdasarkan kepada galakan baginda saw di dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra yang bermaksud : “Allah swt tidak mendengar sesuatu kalam manusia seperti Allah swt mendengar Nabi saw memperelokkan suara dengan melagukan bacaan al-Quran dengan menyaringkan suaranya”. (Hadith Riwayat Bukhari)
Menurut Nurliana Mohd Shariff, (2003), alunan tarannum Al-Quran juga bukan sekadar tidak sama dengan lagu-lagu nyanyian lain seperti lagu penglipur lara, syair, qasidah, nasyid dan sebagainya bahkan al-Quran juga tidak boleh dilagukan seperti lagu-lagu nyanyian tersebut. Perkara ini telah jelas diterangkan oleh baginda saw dalam sabdanya yang bermaksud : “Bacalah al-Quran itu dengan irama (lagu) kearaban dan dengan suara yang berlahjah arab. Jangan sekali-kali kamu melagukan al-Quran itu dengan gaya lagu ahli fasik dan ahli gereja (Kristian dan Yahudi).” (Hadis Riwayat Imam Thabrani & Baihaqi)
Tidak ada kitab-kitab agama lain yang mengalunkan alunan tarannum seindah alunan bacaan Al-Quran, kerana tarannum al-Quran mempunyai kaedah dan prinsip hukum-hukum bacaan yang sesuai dengan kehendak ilmu tajwid dan fasohah al-Quran. Selain itu, bacaan tarannum al-Quran juga mempunyai maqamat khas, nada serta tingkatan suara yang berbeza antara satu sama lain (Nurliana Mohd Shariff 2003). Perbezaan inilah yang menyebabkan ramai dalam kalangan pembaca al-Quran khususnya pelajar KKQ mengatakan seni tarannum al-Quran sukar untuk dipelajari dan dikuasai (Mohd Noor Abd Rahman 2000). Bagi penulis, inilah antara keistimewaan paling ketara yang wujud pada seni “Tarannum al-Quran”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan