أهلا وسهلا ومرحبا بكم - Selamat datang ke blog My al-Quran. Lawatan serta komen membina daripada anda amat dialu-alukan untuk penambahbaikan blog ini.

Sabtu, 30 April 2011

اداء المقامات في تلاوة القران - مقام الكرد

Kuliah Tarannum al-Quran oleh Sheikh Abd Razzaq ad-Dulaimi
(Maqam Kurdi)

اداء المقامات في تلاوة القران - مقام سيكة

Kuliah Tarannum al-Quran oleh Abd Razzaq ad-Dulaimi
(Maqam Sikah).

اداء المقامات في تلاوة القران - مقام الصبا

Kuliah Tarannum Bil Quran oleh Sheikh Abd Razzaq ad-Dulaimi
(Maqam Soba)

أداء المقامات في تلاوة القرءان - مقام البياتي


Kuliah Tarannum al-Quran oleh Abd Razzaq ad-Dulaimi
(Maqam Bayyati).

Ibtihal Muhammad Imran - محمد عمران- الليل اقبل والوجود سكون

TAKRIF & DALIL GALAKAN MELAGUKAN BACAAN AL-QURAN

TAKRIF TARANNUM AL-QURAN
Mohd Ali (1999) menyatakan bahawa istilah bahasa yang sering digunakan dalam ilmu seni suara bacaan al-Quran ini ialah Tarannum, al-Maqamat, al-Han dan al-Ghina. Sebutan “Tarannum” dan “Maqamat” agak sinonim dan sering diguna pakai dalam ilmu seni pembacaan al-Quran seluruh dunia.  Mohd Noor Abdul Rahman (2000), Istilah “Tarannum bil Quran” lebih popular penggunaannya dan difahami oleh kebanyakan masyarakat di Nusantara untuk menunjukkan wujud hubungan erat antara seni memperelokkan suara dengan kaedah pembacaan ayat-ayat suci al-Quran di Nusantara.
Nik Jaafar Nik Ismail (1998), mentakrifkan tarannum sebagai suatu ilmu kaedah suara yang dipelbagaikan bunyi mengikut nada, rentak dan irama tertentu untuk menambah seni bunyi sesuatu bacaan, khususnya bacaan al-Quran. Manakala Norakyairee & adnan (2008), pula menyatakan bahawa definisi tarannum al-Quran sebagai suatu kaedah yang menggunakan kelunakan suara dalam proses membacakan ayat al-Quran. Ilmu tarannum al-Quran juga boleh dimaksudkan sebagai satu ilmu yang membincangkan tentang cara-cara bagaimana melagukan al-Quran daripada aspek hukum tajwid, tarannum, asal-usulnya dan istilah-istilah yang digunakan (Wan Hilmi 2010)

DALIL GALAKAN BERTARANNUM KETIKA MEMBACA AL-QURAN
Al-Quran sebagai mukjizat paling agung anugerah Allah swt kepada junjungan besar Nabi Muhammmad saw ini bukan sahaja perlu dipelajari dan diamalkan dari sudut hukum-hukum tajwid dan tafsir sahaja, bahkan ia juga dituntut agar dialunkan secara bertarannum (Wan Hilmi Wan Abdullah 2010). Hal ini adalah berdasarkan kepada galakan baginda saw di dalam sebuah hadith yang bermaksud :
“Allah swt tidak mengizinkan (mendengar) sesuatu kalam manusia seperti Allah swt mengizinkan Nabi saw memperelokkan suara dengan melagukan bacaan al-Quran dengan menyaringkan suaranya”. (Hadith Riwayat Bukhari)

Sabda Rasulullah saw lagi :
“Hendaklah kamu melagukan bacaan al-Quran, kerana bukanlah dalam kalangan kami orang yang tidak melagukan dengan bacaan al-Quran. Dan menangislah, jika tidak mampu, buat-buatlah menangis”.(Hadith Riwayat Bukhari)

Nurliana Mohd Shariff, (2003), alunan tarannum Al-Quran juga bukan sekadar tidak sama dengan lagu-lagu nyanyian lain seperti lagu penglipur lara, syair, qasidah, nasyid dan sebagainya bahkan al-Quran juga tidak boleh dilagukan seperti lagu-lagu nyanyian tersebut. Perkara ini telah jelas diterangkan oleh baginda saw dalam sabdanya yang bermaksud :
“Bacalah al-Quran itu dengan irama (lagu) kearaban dan dengan suara berlahjah arab. Jangan sekali-kali kamu melagukan al-Quran itu dengan gaya lagu ahli fasik dan ahli gereja (Kristian dan Yahudi).” (Hadis Riwayat Imam Thabrani & Baihaqi)

Hadis di atas jelas menerangkan betapa Rasulullah saw amat menitik beratkan bacaan al-Quran dengan suara dan lagu yang indah. Dengan pembacaan yang baik dan bermutu tinggi akan menzahirkan lagi kemukjizatan al-Quran dari sudut bacaan. Pembaca dan pendengar juga akan lebih bermotivasi untuk memahami, mentadabbur, menginsafi dan mengamalkan ajaran yang terkandung di dalam al-Quran. Seterusnya akan lahir generasi Qur’ani dalam ketamadunan Islam.

Khamis, 28 April 2011

MARTABAT TARANNUM AL-QURAN DARI SUDUT ILMU

Tarannum al-Quran merupakan salah satu bidang ilmu kesenian al-Quran yang mampu membawa seseorang pembaca kepada khusyuk dan tadabbur ketika membaca al-Quran. Seseorang pembaca al-Quran akan sukar untuk memahami, menghayati dan meresapi kefahaman ajaran isi kandungan ke dalam jiwa andai al-Quran dibaca tanpa intonasi yang betul dan lagu yang sesuai. Lantaran itu, tarannum boleh diklasifikasikan sebagai suatu ilmu yang amat mulia di sisi Allah swt. Ini kerana ianya amat berkait rapat dengan kalamullah yang suci (Nik Jaafar Nik Ismail 1998 & Mohd Ali 1999).
Nik Jaafar (1998), Mohd Ali (1999), Mohd Noor (2000) Nurliana (2003) menyatakan bahawa tarannum bayyati dan rast sesuai dibaca pada semua bentuk ayat, tarannum nahwand pula amat sesuai dengan ayat-ayat yang berbentuk doa permohonan dan cerita, manakala tarannum hijaz bersesuaian dengan ayat-ayat yang menunjukkan perintah, tegah atau marah, ayat-ayat yang berbentuk memohon, merayu dan merintih amat sesuai diterapkan dengan bacaan lagu soba dan sikah, dan ayat-ayat yang menunjukkan kesedihan dan kerinduan pula amat sesuai dialunkan dengan tarannum jiharkah. Kesesuaian penerapan bacaan tarannum dengan bentuk-bentuk ayat ini ditentukan melalui sifat yang wujud pada tarannum itu sendiri. Penerapan alunan tarannum yang sesuai dengan bentuk-bentuk ayat diyakini boleh membawa kefahaman dan kekhusyukan kepada pembaca dan pendengar. Ianya juga mampu membuatkan pembaca dan pendengar tadabbur sepenuh perasaan sehingga menangis dengan penuh keinsafan. Tahap bacaan beginilah yang dianjurkan oleh baginda Rasul saw sepertimana dalam sabdanya :
اقرؤوا القرآن وابكوا فإن لم تبكوا فتباكوا
Ertinya : “Bacalah al-Quran dan menangislah kamu semua, sekiranya kamu tidak mampu menangis maka buat-buatlah menangis”.     (Hadis Riwayat Tirmidzi, Al-Hafidz Al-Iraqi)

**Full-Rare** Dr Ahmed Naina - Surah Al Shua'ra - Iran

Dr Ahmed Naina merupakan salah seorang qari yang masyhur di Egypt. Beliau pernah berguru dengan Sh. Mustafa Ismael.

*Full-HQ* Ragheb Ghalwash, Maryam, Iran - Surah Maryem

ASAS-ASAS KESENIAN DALAM TAMADUN ISLAM

Menurut Sidi Gazalba, kebudayaan Islam perlu disuburkan dengan cita rasa taqwa yang dibentuk berpandukan al-Quran & as-Sunah. 3 asas utama kesenian Islam yang dimaksudkan itu ialah asas aqidah (Tauhid), asas syariat (Perundangan) dan asas akhlak (Etika).

1. Kesenian Berasaskan Ketauhidan :

Kesenian Islam perlu berpaksikan kepada asas ketauhidan yang mantap kerana kekuatan asas tauhid inilah yang akan menjadi penentu konsep seni yang bakal dihasilkan. Hanya dengan ketauhidan yang kuat mampu memandu para ahli seni melaksanakan aktiviti kesenian selari dengan tujuan penciptaan mereka di muka bumi sebagai khalifatullah yang dipertanggungjawabkan untuk beribadah kepada Allah swt. Hakikat ini telah dimaklumkan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud : "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”. (Surah adz-Dzariyat : 56)
Keutuhan tauhid akan mewujudkan keseimbangan antara bentuk & isi karya seni. Dengan demikian, para seniman akan berusaha melahirkan karya yang boleh mengajak masyarakat ke arah ketaqwaan, kemakrufan, kesahihan dan budi yang mantap seterusnya membetul dan mengukuhkan aqidah. Mereka juga akan berlumba-lumba mencari idea untuk menzahirkan seni yang boleh menarik minat masyarakat untuk  mengabdikan diri kepada Allah swt. Seniman mukmin yang berjaya menghasilkan karya seni berjiwa ketauhidan pasti akan sentiasa tepu dengan rasa keagungan terhadap Allah swt.

2. Kesenian Berasaskan Syariat Islam (Perundangan) :

Syariat Islam merupakan peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah swt kepada umat Islam. Ia wajib dijadikan sebagai garis panduan utama dalam menghasilkan sesuatu seni atau karya. Para seniman telah sedia maklum bahawa setiap yang dilakukan pasti ada batasan hukum yang telah ditetapkan sama ada halal atau haram. Mereka juga meyakini bahawa setiap yang dilakukan tidak akan terlepas dari catatan pahala atau dosa. Oleh yang demikian, hukum syariat inilah menjadi benteng yang membentuk jiwa seniman mukmin supaya sentiasa patuh dan taat kepada syariat yang ditetapkan oleh Allah swt. Maka lahir seniman yang tidak mengabaikan ibadah, mereka menghasilkan karya selari dengan kehendak syariat, Jiwa sentiasa mengilhamkan kebaikan dan kemakrufan berpandukan al-Quran dan as-Sunah dan kesenian yang dihasilkan tidak membawa kemudharatan dan kerosakan ke atas jiwa masyarakat dalam tamadun Islam.

3. Kesenian Berasaskan Akhlak Islam (Etika) :

Kesenian Islam yang indah mesti mengandungi nilai-nilai estetika Islam iaitu akhlak (Sidi Gazalba). Nilai-nilai akhlak yang mulia semestinya menjadi keutamaan dalam penghasilan seni. Islam dengan tegas menolak hasil seni yang bersifat kasar, lucah serta perbuatan yang tidak bermoral.
Para seniman sewajarnya menjadikan hasil seni Islam sebagai alat bagi menyampaikan mesej dakwah yang mampu mencuit hati, perasaan dan pemikiran masyarakat. Mereka juga boleh menghasilkan kesenian yang membawa kebenaran dan kema’rufan serta peka dengan alam sekeliling dan menjadikan kesenian sebagai alat untuk membentuk masyarakat yang berperadaban.

Rabu, 27 April 2011

PENGENALAN TARANNUM AL-QURAN DALAM KELAS KEMAHIRAN AL-QURAN (KKQ)

Tarannum al-Quran merupakan salah satu bahagian mata pelajaran utama yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh pelajar KKQ (Kementerian Pendidikan Malaysia 2004).  Nik Jaafar (1998) dan Mohd Ali (1999) mentakrifkan ilmu tarannum al-Quran sebagai suatu ilmu kaedah suara yang dipelbagaikan bunyi mengikut proses nada, rentak dan irama yang tertentu untuk menambahkan keelokan seni bunyi sesuatu bacaan, khususnya di dalam bidang ilmu pembacaan Al-Quran. Mohd Ali (1999) menyatakan antara istilah yang sering digunakan seiring dengan ilmu seni suara bacaan al-Quran ini ialah Tarannum, al-Maqamat, al-Han dan al-Ghina. Sebutan “Tarannum” dan “Maqamat” agak sinonim dan sering diguna pakai dalam ilmu seni pembacaan al-Quran seluruh dunia. Mohd Noor Abdul Rahman (2000), Istilah “Tarannum bil Quran” lebih popular penggunaannya dan difahami oleh kebanyakan masyarakat di Nusantara untuk menunjukkan wujud hubungan erat antara seni memperelokkan suara dengan kaedah pembacaan ayat-ayat suci al-Quran di Nusantara.
Al-Quran sebagai mukjizat paling agung anugerah Allah swt kepada junjungan besar Nabi Muhammmad saw ini bukan sahaja perlu dipelajari dari sudut hukum-hukum tajwid dan tafsir sahaja, bahkan ia juga dituntut agar dialunkan secara bertarannum (Wan Hilmi Wan Abdullah 2010). Hal ini adalah berdasarkan kepada galakan baginda saw di dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra yang bermaksud : “Allah swt tidak mendengar sesuatu kalam manusia seperti Allah swt mendengar Nabi saw memperelokkan suara dengan melagukan bacaan al-Quran dengan menyaringkan suaranya”. (Hadith Riwayat Bukhari)
Menurut Nurliana Mohd Shariff, (2003), alunan tarannum Al-Quran juga bukan sekadar tidak sama dengan lagu-lagu nyanyian lain seperti lagu penglipur lara, syair, qasidah, nasyid dan sebagainya bahkan al-Quran juga tidak boleh dilagukan seperti lagu-lagu nyanyian tersebut. Perkara ini telah jelas diterangkan oleh baginda saw dalam sabdanya yang bermaksud : “Bacalah al-Quran itu dengan irama (lagu) kearaban dan dengan suara yang berlahjah arab. Jangan sekali-kali kamu melagukan al-Quran itu dengan gaya lagu ahli fasik dan ahli gereja (Kristian dan Yahudi).” (Hadis Riwayat Imam Thabrani & Baihaqi)
Tidak ada kitab-kitab agama lain yang mengalunkan alunan tarannum seindah alunan bacaan Al-Quran, kerana tarannum al-Quran mempunyai kaedah dan prinsip hukum-hukum bacaan yang sesuai dengan kehendak ilmu tajwid dan fasohah al-Quran. Selain itu, bacaan tarannum al-Quran juga mempunyai maqamat khas, nada serta tingkatan suara yang berbeza antara satu sama lain (Nurliana Mohd Shariff 2003). Perbezaan inilah yang menyebabkan ramai dalam kalangan pembaca al-Quran khususnya pelajar KKQ mengatakan seni tarannum al-Quran sukar untuk dipelajari dan dikuasai (Mohd Noor Abd Rahman 2000). Bagi penulis, inilah antara keistimewaan paling ketara yang wujud pada seni “Tarannum al-Quran”.

Latar Belakang Kelas Kemahiran al-Quran (KKQ)

Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM) dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah diamanahkan untuk mewujudkan Kelas Kemahiran al-Quran (KKQ). KKQ mula di laksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) sejak tahun 1986 sebagai sebahagian aktiviti ko-kurikulum di sekolah berdasarkan pekeliling KP(BPPP)Sulit/03/9/JPP/M(87). Pelaksanaan ini adalah berdasarkan keputusan Jawatankuasa Perancangan Pelajaran (JPP) pada tahun 1985. Kelas ini telah di perluaskan ke Kelas Aliran Agama (KAA) di sekolah menengah kebangsaan (SMK) mengikut sukatan pelajaran yang di tetapkan (Kementerian Pendidikan Malaysia 2004)
Untuk merealisasikan perjalanan kelas ini maka jawatan Guru al-Quran di SMKA dan KAA telah diperuntukkan di bawah senarai perjawatanan tahun 2002. JAPIM dari masa ke semasa sentiasa mengadakan kursus-kursus khas kepada guru-guru yang mengajar KKQ di SMKA dan SMK yang mempunyai aliran KAA bagi menambah atau melengkapkan guru-guru dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang berkaitan. Manakala status pelajar yang dipilih untuk mengikuti kelas ini adalah dari kalangan pelajar yang baik dan lancar membaca al-Quran. Semua pelajar KKQ akan mengikuti peperiksaan khas yang dijalankan semasa tingkatan tiga dan tingkatan lima. Peperiksaan dilaksanakan dalam bentuk lisan dan juga objektif (aneka pilihan) meliputi aspek tajwid, hafazan, ulum al-Quran, tarannum dan qiraat al-sab‘ie.