أهلا وسهلا ومرحبا بكم - Selamat datang ke blog My al-Quran. Lawatan serta komen membina daripada anda amat dialu-alukan untuk penambahbaikan blog ini.

Khamis, 28 April 2011

ASAS-ASAS KESENIAN DALAM TAMADUN ISLAM

Menurut Sidi Gazalba, kebudayaan Islam perlu disuburkan dengan cita rasa taqwa yang dibentuk berpandukan al-Quran & as-Sunah. 3 asas utama kesenian Islam yang dimaksudkan itu ialah asas aqidah (Tauhid), asas syariat (Perundangan) dan asas akhlak (Etika).

1. Kesenian Berasaskan Ketauhidan :

Kesenian Islam perlu berpaksikan kepada asas ketauhidan yang mantap kerana kekuatan asas tauhid inilah yang akan menjadi penentu konsep seni yang bakal dihasilkan. Hanya dengan ketauhidan yang kuat mampu memandu para ahli seni melaksanakan aktiviti kesenian selari dengan tujuan penciptaan mereka di muka bumi sebagai khalifatullah yang dipertanggungjawabkan untuk beribadah kepada Allah swt. Hakikat ini telah dimaklumkan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud : "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”. (Surah adz-Dzariyat : 56)
Keutuhan tauhid akan mewujudkan keseimbangan antara bentuk & isi karya seni. Dengan demikian, para seniman akan berusaha melahirkan karya yang boleh mengajak masyarakat ke arah ketaqwaan, kemakrufan, kesahihan dan budi yang mantap seterusnya membetul dan mengukuhkan aqidah. Mereka juga akan berlumba-lumba mencari idea untuk menzahirkan seni yang boleh menarik minat masyarakat untuk  mengabdikan diri kepada Allah swt. Seniman mukmin yang berjaya menghasilkan karya seni berjiwa ketauhidan pasti akan sentiasa tepu dengan rasa keagungan terhadap Allah swt.

2. Kesenian Berasaskan Syariat Islam (Perundangan) :

Syariat Islam merupakan peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah swt kepada umat Islam. Ia wajib dijadikan sebagai garis panduan utama dalam menghasilkan sesuatu seni atau karya. Para seniman telah sedia maklum bahawa setiap yang dilakukan pasti ada batasan hukum yang telah ditetapkan sama ada halal atau haram. Mereka juga meyakini bahawa setiap yang dilakukan tidak akan terlepas dari catatan pahala atau dosa. Oleh yang demikian, hukum syariat inilah menjadi benteng yang membentuk jiwa seniman mukmin supaya sentiasa patuh dan taat kepada syariat yang ditetapkan oleh Allah swt. Maka lahir seniman yang tidak mengabaikan ibadah, mereka menghasilkan karya selari dengan kehendak syariat, Jiwa sentiasa mengilhamkan kebaikan dan kemakrufan berpandukan al-Quran dan as-Sunah dan kesenian yang dihasilkan tidak membawa kemudharatan dan kerosakan ke atas jiwa masyarakat dalam tamadun Islam.

3. Kesenian Berasaskan Akhlak Islam (Etika) :

Kesenian Islam yang indah mesti mengandungi nilai-nilai estetika Islam iaitu akhlak (Sidi Gazalba). Nilai-nilai akhlak yang mulia semestinya menjadi keutamaan dalam penghasilan seni. Islam dengan tegas menolak hasil seni yang bersifat kasar, lucah serta perbuatan yang tidak bermoral.
Para seniman sewajarnya menjadikan hasil seni Islam sebagai alat bagi menyampaikan mesej dakwah yang mampu mencuit hati, perasaan dan pemikiran masyarakat. Mereka juga boleh menghasilkan kesenian yang membawa kebenaran dan kema’rufan serta peka dengan alam sekeliling dan menjadikan kesenian sebagai alat untuk membentuk masyarakat yang berperadaban.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan