أهلا وسهلا ومرحبا بكم - Selamat datang ke blog My al-Quran. Lawatan serta komen membina daripada anda amat dialu-alukan untuk penambahbaikan blog ini.

Khamis, 28 April 2011

MARTABAT TARANNUM AL-QURAN DARI SUDUT ILMU

Tarannum al-Quran merupakan salah satu bidang ilmu kesenian al-Quran yang mampu membawa seseorang pembaca kepada khusyuk dan tadabbur ketika membaca al-Quran. Seseorang pembaca al-Quran akan sukar untuk memahami, menghayati dan meresapi kefahaman ajaran isi kandungan ke dalam jiwa andai al-Quran dibaca tanpa intonasi yang betul dan lagu yang sesuai. Lantaran itu, tarannum boleh diklasifikasikan sebagai suatu ilmu yang amat mulia di sisi Allah swt. Ini kerana ianya amat berkait rapat dengan kalamullah yang suci (Nik Jaafar Nik Ismail 1998 & Mohd Ali 1999).
Nik Jaafar (1998), Mohd Ali (1999), Mohd Noor (2000) Nurliana (2003) menyatakan bahawa tarannum bayyati dan rast sesuai dibaca pada semua bentuk ayat, tarannum nahwand pula amat sesuai dengan ayat-ayat yang berbentuk doa permohonan dan cerita, manakala tarannum hijaz bersesuaian dengan ayat-ayat yang menunjukkan perintah, tegah atau marah, ayat-ayat yang berbentuk memohon, merayu dan merintih amat sesuai diterapkan dengan bacaan lagu soba dan sikah, dan ayat-ayat yang menunjukkan kesedihan dan kerinduan pula amat sesuai dialunkan dengan tarannum jiharkah. Kesesuaian penerapan bacaan tarannum dengan bentuk-bentuk ayat ini ditentukan melalui sifat yang wujud pada tarannum itu sendiri. Penerapan alunan tarannum yang sesuai dengan bentuk-bentuk ayat diyakini boleh membawa kefahaman dan kekhusyukan kepada pembaca dan pendengar. Ianya juga mampu membuatkan pembaca dan pendengar tadabbur sepenuh perasaan sehingga menangis dengan penuh keinsafan. Tahap bacaan beginilah yang dianjurkan oleh baginda Rasul saw sepertimana dalam sabdanya :
اقرؤوا القرآن وابكوا فإن لم تبكوا فتباكوا
Ertinya : “Bacalah al-Quran dan menangislah kamu semua, sekiranya kamu tidak mampu menangis maka buat-buatlah menangis”.     (Hadis Riwayat Tirmidzi, Al-Hafidz Al-Iraqi)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan