أهلا وسهلا ومرحبا بكم - Selamat datang ke blog My al-Quran. Lawatan serta komen membina daripada anda amat dialu-alukan untuk penambahbaikan blog ini.

Ahad, 17 Jun 2012


MTQ KEBANGSAAN 2012 – MALAM PENUTUPAN


MALAM PENUH KECERIAAN BAGI SABAH
Sebenarnya selepas giliran Ustaz Raffe menyelesaikan giliran tilawahnya pada malam keempat lepas dan sebelum malam penutupan berlangsung, saya cuba  berpada-pada dengan harapan. Ustaz Raffe dan Faten kali pertama mewakili Sabah dalam MTQ Kebangsaan, jadi memadai mereka dapat mempersembahkan tilawah yang terbaik menurut kemampuan dan kudrat mereka.
Jelas saya berpuas hati. Sekiranya ada kelemahan dan kekurangan, ia wajar ditampung dan diperbaiki pada kesempatan pada masa dan tahun mendatang. Faten dan Ustaz Raffe melakukan beberapa kesilapan yang sama iaitu gagal menutup dengan tarannum bayati kerana kehabisan masa. Saya kira ia satu kesilapan normal apatah lagi mereka orang baru di peringkat kebangsaan.
Justeru apabila kedua-dua mereka mendapat tempat dalam MTQ Kebangsaan kali ini, Nur Faten naib johan dengan 79% dalam kategori qariah dan Ustaz Raffe tempat ketiga dengan  86.68% kategori qari, ia suatu bonus dan kejutan kepada kami semua. Bercerita soal qari, memang ‘pertarungan’ agak sengit. Qari  Kelantan memang berada pada kelasnya tersendiri, tetapi qari lain antara yang bagus pada pemerhatian saya seperti qari Perlis, Perak dan Kedah. Qari Kelantan Ustaz Mohd Anuar Ghazali ketika MTQ Kebangsaan di Kota Kinabalu pada tahun 2010 mendapat tempat kedua, dan di sini di atas kertas sebelum MTQ bermula memang diramalkan akan muncul sebagai johannya.
Dari segi qariah pula, ramai bersetuju bahawa banyak bacaan mereka tidak begitu menjadi. Suara serak, ada yang semput beberapa kali. Bahkan bagi saya, bacaan Faten pada malam kedua itu biasa-biasa saja, seperti MTQ Negeri yang pernah dilaluinya sebelum ini. Ybhg Datuk Mokhtar ada menghantar komentar kepada Faten melalui telefon bimbit saya dengan antara lain mengatakan bahawa prestasi di peringkat negeri lebih baik. Hanya faktor rezeki menentukan Faten mendapat kedudukan kedua di peringkat kebangsaan, satu keputusan yang langsung tidak kami jangka. Saya sendiri membuat andaian kedudukan Faten antara tempat ketiga hingga kelima.
MAJLIS
Majlis Penutupan MTQ Kebangsaan kali ini bermula jam 8.45 malam dengan ketibaan Sultan Johor dan kerabatnya. Tetamu khas ialah SS Mufti Brunei Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abd. Aziz bin Juned yang amat saya kagumi. Sebelumnya pada jumaat beliau menyampaikan khutbah yang hebat di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Bagi rombongan Sabah, kelihatan YB Datuk Haji Nasir Tun Sakaran, YB Datuk Haji Arifin Arif, YB Datuk Haji Suhaili Said, SS Datuk Ahmad Alawi Haji Adnan, Datuk Haji Amri Suratman dan lain-lain.
Susun atur kerusi untuk tetamu agak berlainan berbanding tempat lain yang pernah saya hadiri. Bagi yang menonton siaran langsung di tv1 malam berkenaan, ada dua pentas yang saling berhadapan. Pentas astaka tilawah seperti biasa dan di belakang sekali adalah pentas diraja yang berhadapan dengan astaka tilawah. Sementara hadirin lelaki dan perempuan dipisahkan dan duduk saling berhadapan. Bagi lelaki, pentas diraja berada di sebelah kiri dan pentas astaka tilawah di sebelah kanan. Bagi tetamu muslimat, pentas diraja berada di sebelah kanan dan pentas astaka tilawah di sebelah kiri mereka.
Komentar Pengerusi Jamaah Hakim wajar diambil perhatian oleh pencinta tilawah al-Quran bukan sahaja bagi qari dan qariah. Kualiti tajwid menurut beliau amat memberansangkan dengan markah 35 ke atas bagi semua qari dan qariah berbanding 40 markah penuh. Daripada segi tarannum, ada peserta yang gagal menunaikan dan menamatkan lagu dan burdah yang kurang sempurna. Daripada segi fasohah, masih ada kelemahan dalam memahami hukum waqaf dan ibtida’. Daripada segi suara, tabaqat atau tingkatan nada suara masih perlu diperbaiki.
Pengumuman oleh Ketua Pengarah JAKIM selaku pengerusi jamaah hakim sudah tentu dinanti-nantikan. Demikianlah sebagaimana yang sudah kita maklumi. Qari – Ustaz Muhammad Anuar Ghazali, Kelantan (93.66%), Zul-Hasyimi bin Mohamed Yunus, Pahang (87.99%) dan Ustaz Mohamad Raffe bin Ghalil Abbas, Sabah ( 86.68%). Qariah - Hajah Che Aminah binti Che Awang, WP (84.33%), Nur Faten Izzati binti Rablin, Sabah (79%) dan Marzian binti Mohd Deli, Kedah (78.67%). Tahniah juga buat semua peserta lain dari seluruh negara.
ANAK MUDA
Dalam konteks MTQ Kebangsaan baru-baru ini, pandangan kasar saya menyaksikan majoriti qari dan qariah adalah orang muda. Wakil Sabah kedua-duanya misalnya adalah orang muda, dengan Ustaz Raffe baru berumur 36 tahun dan Nur Faten pula 20 tahun. Qari qariah Pulau Pinang juga berumur awal 20an. Bahkan johan qari Ustaz Muhammad Anuar juga berumur lingkungan pertengahan 30an. Wakil Sarawak, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah juga orang-orang muda.
Bahkan dalam MTQ Negeri Sabah juga menyaksikan penyertaan anak-anak muda baik kategori qari dan qariah. Di peringkat negeri, 70-80 peratusnya adalah orang muda. Apa yang mesti dilakukan seterusnya ialah memupuk budaya cintakan al-Quran bermula dengan membaca al-Quran seterusnya menghafaz sehinggalah al-Quran dihayati di dalam kehidupan, kerana demikianlah tujuan al-Quran diturunkan dan tujuan al-Quran dialunkan.
SEJARAH SABAH
Apa yang saya ketahui, (mungkin juga tersilap) dalam penglibatan qari qariah Sabah ke peringkat kebangsaan, ini kali kedua qariah kita mendapat tempat 3 terbaik. Pada awal 80an dahulu, Hajjah Maliah Muda (Allahyarham) pernah dua kali mendapat tempat ketiga. Qari pula, Tuan Haji Abdullah Wahid juga pernah dua kali mendapat tempat yang sama pada tahun 2008 dan 2009. Kini secara serentak Nur Faten dan Ustaz Raffe mendapat tempat serentak pada tahun yang sama. Jadi bagi saya ini adalah pencapaian terbaik setakat ini yang boleh diperbaiki lagi pada tahun-tahun mendatang.
Persamaan keempat-empat mereka ialah adanya kelas-kelas tahsin al-Quran untuk memperbaiki kualiti bacaan al-Quran dikalangan qari dan qariah terpilih. Pada tahun-tahun akhir 70an dan awal 80an, Allahyarham Ustaz Saidin Abdul Rahman qari antarabangsa dari Pulau Pinang telah melatih dan membimbing mereka. Kemudian prestasi Sabah merudum sehinggalah JHEAINS kembali mengadakan kelas seumpama ini bermula sekitar tahun 2005.
NAMA YANG TIDAK DIDENDANG
Insya Allah, nama-nama ini adalah mereka yang pernah membimbing qari qariah Sabah sejak tahun-tahun 2005 hinggalah sekarang. Saya kira faktor curahan ilmu mereka membimbing secara berterusan tidak dapat menafikan akan kebangkitan peserta Sabah dalam Majlis Tilawah al-Quran di peringkat negeri dan kebangsaan sejak tahun-tahun berkenaan. Namun nama mereka tidak atau kurang ‘didendang’. Maka saya sebutkan sebahagian nama yang saya ketahui :
Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok, Ybhg Datuk Haji Abdul Ghafar Rijim, Tuan Haji Hassan Che Musa, Tuan Haji Daud Che’ Man, Tuan Haji Rahim Ahmad, Hajjah Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman dan lain-lain kendalian JHEAINS. Begitu juga siri-siri kursus anjuran JAKIM dengan pembimbing yang sangat ramai datang ke Sabah bersilih ganti, antaranya Ustaz Nik Jaafar, Datuk Muhammad Hasri, Datuk Ahmad Paizul Ghazali, Ustaz Kadri Abdul Hamid, Datuk Salehuddin Omar dan ramai lagi.
Dalam MTQ Kebangsaan kali ini, bantuan segera Tuan Haji Yahya Daud dari Kelantan sangat kami hargai dan sanjungi. Beliau membantu kedua-dua qari dan qariah Sabah walaupun hanya melalui telefon setelah mereka berdua mendapat surah dan ayat yang ditetapkan pada hari giliran masing-masing.

MTQ KEBANGSAAN 2012 – MALAM KEEMPAT

Malam terakhir sebelum malam penutupan, adalah malam yang melibatkan qari Sabah Ustaz Raffe Ghalil Abbas. Malam yang sama melibatkan qari Wilayah, Kelantan dan tuan rumah Johor. Malam sengit, kata kawan-kawan. Setengah jam sebelum bermula, saya bertemu Ustaz Raffe dan berbincang sebentar kerana kami tidak berkesempatan bertemu muka sejak siang. Kami tinggal berasingan hotel kerana beliau membawa keluarganya sekali.
Perbincangan kami lebih kepada tentang tajwid seperti masalah ghunnah dan lain-lain, dan tentang fasohah khususnya bab waqaf ibtida’. Bab tarannum dan suara, saya tidak usik kerana beliau lebih mahir dan tahu. Saya menyampaikan pesan ramai orang yang berkirim salam kepadanya melalui saya dan mendoakan beliau agar diberikan ketenangan. Antara yang berpesan baik ialah Ybhg SS Mufti Sabah Datuk Haji Ahmad Alawi Haji Adnan dan Datuk Haji Amri Suratman Pengarah JHEAINS dan beberapa individu lain.
Ini debaran kedua bagi saya kerana saya adalah pengiring qari Sabah. Debaran pertama berlalu pada malam kedua apabila Faten naik ke astaka, kerana dia antara pelajar saya juga di Maahad. Sebagaimana yang saya catatkan di facebook, setelah kedua-duanya mempersembahkan bacaan masing-masing, kami mengambil pendekatan merendah diri dan tidak terlalu berharap kerana ini pengalaman pertama buat qari dan qariah tampil di peringkat kebangsaan, bahkan ramai peserta yang berpotensi untuk meraih kejayaan.
Ada kelebihan, dan ada juga kesilapan pada kebanyakan peserta, jadi agak sukar untuk memenuhi jawapan bagi pertanyaan ramai yang menghantar sms : “peserta Sabah ada harapan?” Sekadar saya menjawab : Wallahu a’lam. Harapan rakan-rakan dan ramai pihak cukup tinggi, dan saya sebagai pengiring dan dekat dengan kedua-dua peserta serta bergaul dengan kebanyakan peserta kebangsaan dapat merasai kehangatan MTQ kali ini kerana berada di dalam dewan mendengar semua peserta dan semangat dalam dewan, sudah tentu tidak sama dengan yang berada di rumah.